Thursday, June 23, 2011

Cinta Kita Bawa Ke Syurga - 33

Pagi ahad yang sungguh indah.

Usai solat subuh Darwisya segera membantu ibunya menyediakan sarapan pagi. Ibu memilih untuk menyediakan hidangan bihun goreng. Darwisya pula memilih untuk membancuh seteko kopi panas. Sudah menjadi resam di rumah mereka, tidak sah sarapan pagi tanpa secawan kopi.

Siap bersarapan bersama ibu dan adik-adik, Darwisya melangkah keluar pintu rumahnya. Udara pagi yang segar dan nyaman dihirup nikmat. Nyamannya udara yang belum lagi tercemar dengan kesibukan kota yang bakal bermula tatkala matahari menjengahkan cahayanya nanti. Pagi ahad itu, Darwisya berkira-kira untuk tidak mahu ke mana-mana. Baru seminggu mula bekerja, cuti hujung minggu ini dirasakan adalah saat terbaik untuk dia berehat bersama ibu dan adik-adiknya.

"Assalamualaikum," Laung satu suara dari arah pintu masuk beranda rumahnya. Lamunan Darwisya terhenti.

"Waalaikumussalam. Ye bang...ada apa?" Di lihat lelaki yang sama untuk kali ke tiga bertandang ke rumahnya. Lelaki itu memegang sejambak bunga mawar merah bersulam putih yang digubah berbeza dengan jambangan sebelumnya. Yang ini nampak lebih menarik. Gubahannya lebih rapi dan segar.

Kenapa bunga ini lagi?
Kenapa dua warna ini pilihan si pemberi?
Siapa dia?

"Macam biasa lah. Cik, tandatangan sini," Pinta lelaki itu. Ruangan tandatangan pada buku yang disuakan ke arah Darwisya segera dipenuhkan.

Jambangan bunga kini bertukar tangan. Haruman bunga mawar segar itu menusuk rongga hidungnya. Matanya spontan dipejam erat. Wajah Hakimi tiba-tiba menerjah ruangan mindanya. Lelaki itu bagaikan sedang tersenyum penuh makna kepadanya. Satu perasaan indah menyelinap masuk ke setiap rongga tubuhnya.


Kad berwarna emas yang terselit dicelah jambangan bunga lantas dibaca.

Sya, 
Putih lambang suci,merah lambang sejati.
Bukan begitu Sya?
Daripada,Putera cinta hatimu, Ammar Hakimi

Untuk kali ke tiga dia menerima jambangan mawar merah putih daripada pengirim yang sama, kad ucapan bertulis tangan yang sama, dan mungkin juga dari kedai bunga yang sama kerana penghantar bunga juga adalah orang yang sama. Kali pertama menerima jambangan indah itu, Darwisya biarkan sepi. Kali kedua juga  begitu.Namun,masuk kali ketiga ini, Darwisya jadi tidak keruan. Dia mula ingin mengambil tahu.

"Bu, kenapa Ammar Hakimi selalu hantar bunga?" Tanya Darwisya pada ibunya.

"Dia sayang kakak. Kakak pun sama. Cuma kakak tak ingat dia. Mungkin dia sedang usaha nak kembalikan memori kakak pada dia." Jelas Mak Cik Jamilah. Darwisya mengerutkan dahinya. Dia tahu, Hakimi adalah lelaki yang kerap kali melawatnya ketika di awal-awal dia ditimpa musibah besar itu. Dia juga sedar, lelaki ini sudah lama tidak muncul dilayar matanya. Dia juga ingin sekali bertanya kepada empunya diri, mengapa lelaki itu menjauh pergi secara tiba-tiba. Seingat Darwisya, kali terakhir Hakimi menjenguknya ialah sebelum dia jatuh pengsan akibat stress ketika dalam usaha mengingati kisah lama. Itupun dua bulan yang lalu.

Entah apa khabar lelaki itu sekarang. Bukankah dia jauh di negeri Pulau Pinang. Apakah makna kiriman bunga yang tidak henti-henti ini? terlalu banyak persoalan di minda Darwisya.

Dia tahu anaknya runsing. Dia juga tahu, Hakimi mengharapkan sesuatu daripada semua usahanya. Doa ibu yang lahir dari hati kudus wanita tua itu segera terdetik.

'Ya Allah...permudahkan urusan anakku Ya Allah...' Bisik hati kecil seorang ibu.

Darwisya berlalu masuk ke dalam rumahnya. Jambangan itu dibawa ke dapur, lalu disusun molek ke dalam sebuah pasu jernih yang berisi air. Terasa sayang pula rasanya jambangan indah itu dibiarkan kering begitu sahaja. Lama bunga-bunga itu direnungnya. Melihat jambangan bunga yang cantik itu menenangkan hatinya. Entah mengapa dia berasa begitu bahagia.

'Cantiknya...' Desis hati Darwisya.

Ada sesuatu yang berbeza
 
Saat ku lihat senyum manis mu
Ada sesuatu yang tak bisa ku ungkapkan
Saat ku bertemu dengan dirimu
Satu keinginan terpendam di hati
Lagu itu sedang diputarkan dicorong radio di dapur rumah Darwisya. Entah mengapa bait-bait lirik itu menyentuh hati Darwisya.

Ya..Ada sesuatu yang terlalu dalam dirasakan dalam hatinya saat membayangkan wajah Ammar Hakimi. Lelaki itu hanya dikenali dalam diari usangnya. Namun, mendengar nama itu sudah cukup menggetarkan hatinya tanpa sebab. Ada sesuatu yang tidak mampu diungkapkan. Malah, Darwisya sendiri tidak faham. Rasa itu begitu tulus lahir dari hatinya.

Nada dering berlagu 21 Guns bermain di telefon bimbitnya.

"PUTERA"


Lama sudah panggilan dari 'putera' tidak diterima Darwisya. Sudah 2 bulan. Panggilan itu dijawab segera tanpa sempat nada dering itu habis.

"Assalamualaikum Ammar Hakimi. Kenapa awak bagi bunga?" Tanpa sempat salam yang diucap disambut Hakimi, Darwisya sudah melontarkan soalan.

"Waalaikumussalam Sya. Eh, tak sempat apa-apa lagi Sya dah tanya. Baru Kimi nak tanya, Sya ada dapat bunga tak?" Tanya Hakimi. Sengaja Hakimi bertanya begitu.

"Dah kali ke tiga. Buat apa semua ni Kimi? Sya tak faham," Tanpa sedar, Darwisya menggunakan kata ganti diri 'Sya' dan 'Kimi' yang sudah lama tidak digunakan. Sama seperti dulu.

Hati  Hakimi berulit bahagia. Bagaikan mahu tumpah air matanya saat mendengar kata ganti nama itu. Sebak hatinya. Memori-memori lama berulang tayang dimata hatinya.

"Hakimi! Hello..are u there?" Darwisya sedikit menjerit apabila sudah berkali-kali dia memanggil lelaki itu, namun, corong pembesar suara telefon bimbit bagaikan tidak berfungsi. Tiada jawapan.

Hakimi tersedar dari lamunan.

"Ya sayang. Kimi ada..." Jawab Hakimi.

"Kenapa panggil sayang? Siapa sayang kamu?" Darwisya rimas.

"Sya lah. em...tak pelah. Sya belum ingat Kimi lagi tu." Kecewa dirasakan Hakimi. Namun, dia tekad, perjuangan harus diteruskan. Dia tahu, dia pasti berjaya. Doa-doa harapan berlagu dihatinya. Dia tahu Allah mendengar permintaannya. Semoga Allah memakbulkannya.



bersambung...

Tuesday, June 21, 2011

Cinta Kita Bawa Ke Syurga - 32

Alhamdulillah. Setelah seminggu Aina merisik khabar Darwisya Qaisara, gadis itu nekad memulakan tugas kembali di Aswad Berhad. Atas permintaan Aina Zulaikha kepada papanya, pemilik Aswad Berhad, Darwisya ditugaskan semula bekerja di posisi yang sama seperti sebelumnya. Aina punya agenda tersendiri kali ini. Jika Aina membiarkan Darwisya jauh dari pantauannya, dia khuatir suaminya akan mengambil kesempatan ke atas Darwisya. Dia juga tekad kali ini, perkahwinan antara dia dan Zarif harus dipertahankan.

Ya.. memang harus dipertahankan. Demi bayi yang dikandung ini. nasib si anak harus diperjuangkan. Dulu memang Dira, anak kecil berusia setahun itu bukan anak kandung Zarif. Tapi kini benih yang membesar dalam rahimnya saat ini adalah darah daging Zarif Asyraf. Dia rela janin kecil itu membesar dalam rahimnya itu atas alasan Zarif sudahpun sudi menerima dirinya seadanya.

Ya. Zarif benar-benar berbeza dua bulan lepas. Zarif seolah miliknya sepenuh jiwa dan raga. Perhatian Zarif tertumpah hanya pada Aina seorang. Lantaran, si anak kecil Adira turut terasa tempias bahagia. Si kecil itu disayangi Zarif, ditatang bagai minyak yang penuh oleh si ayah. Tidak lagi  dipandang sepi.

Namun itu cuma seketika. Pertemuan antara Darwisya dan Zarif di pantai dua bulan lalu memekarkan kembali cinta Zarif Asyraf. Suaminya kembali kepada asal. Kembali kepada suasana di awal mendung perkahwinannya. Suaminya lebih banyak termenung dan senyum sendiri. Aina tahu, dalam hati dan minda Zarif ada Darwisya Qaisara. Ada gadis itu.

------

'Apa khabar Sya di sana?' hati Kimi dilanda persoalan. Setiap kali tubuhnya direbahkan di katil. Mindanya berputar ligat mengingatkan kekasih hati yang dibiar sepi di selatan tanah air. Bukan Kimi tak rindu. Mahu sahaja dia terbang ke rumah Darwisya dan dipeluk cium gadis pujaan hatinya itu. Namun, akalnya kerap kali berkata 'tidak'. Kimi tahu, Darwisya harus diberi ruang. Gadis itu akan semakin parah jika terlalu diberi tekanan untuk mengingat semula. Kimi ingat pesan doktor. Gadis itu hanya diperhatikan dari jauh. Khabar berita gadis itu hanya diketahui dari orang-orang terdekat Darwisya, samada ibu atau adik-adiknya.

Kimi menahan diri untuk menghubungi Darwisya. Dia masih ingat, ketika itu dia datang menjenguk si gadis. Dan   mereka berbual-bual di ruang tamu.

"Hakimi! Awak siapa sebenarnya. Saya betul-betul tak dapat ingat awak." Gadis itu benar-benar tertekan.

"Sya, saya tak paksa Sya ingat saya. Take your time dear. " Hakimi serba tidak senang. Gadis di depannya dilihat memegang kepala dan matanya terpejam erat seperti menahan sakit. Gadis itu lantas bangun dari sofa.

Sesaat kemudian.

Darwisya rebah. Syukur Hakimi berada dekat dengan dia. Gadis itu disambut dan dikendong menuju ke keretanya. Hakimi dan Makcik Jamilah bergegas ke hospital.

Tekanan punca Darwisya rebah. Hakimi ingat itu.

-----

Namun, kini, sudah hampir 3 bulan. Apakah si dia sudah menemui kembali ingatan yang 'terbang' itu?

"Assalamualaikum Makcik," Sapa Hakimi. Kimi menghubungi ibu Darwisya.

"Waalaikumsalam nak. Kimi lama dah tak telefon mak cik. Sya dah mula kerja semalam." Jawab Mak Cik Jamilah sambil menjelaskan perihal Darwisya kepada Hakimi. Fikiran wanita tua itu seolah tahu gelodak minda Kimi yang meronta-ronta ingin mengetahui khabar berita Darwisya Qaisara kesayangannya.

"Ye ke makcik. Sya dah sihat ya? Alhamdulillah..." Ucapan pujian tanda kesyukuran diucapkan dengan penuh perasaan. Sesungguhnya hati kecilnya tidak putus-putus mengucap syukur. Saban hari dia berdoa agar Darwisya segera sembuh. Kesembuhan gadis itu amat-amat didambakan.

"Luka kepala dah lama sembuh. Cuma sesetengah perkara Sya masih belum dapat ingat." Makcik Jamilah menjelaskan. Wanita itu turut memberitahu Hakimi bahawa Darwisya masih belum dapat mengingat jejaka itu.

"Cubalah Kimi buat apa-apa yang membantu Sya. Doktor kata, Sya sudah boleh dibantu untuk mengingat semula. Dia tak lagi meronta kesakitan saat diberi tekanan untuk mengingat. Tak macam masa baru-baru kemalangan dulu." Jelas Mak Cik Jamilah.

"Ye ke makcik? Insya allah.. Kimi pun ada fikir macam tu." Jawab Kimi ringkas. Agenda mula di atur di kotak fikirannya. Hatinya diulit bahagia. Kimi bersangka baik. Dia pasti, pelangi indah cinta mereka akan muncul semula.

Lantas dia segera menghubungi pemilik sebuah kedai bunga. Sejambak mawar putih bersulam merah ditempah khas buat yang tercinta.

Hakimi masih ingat kata-kata Darwisya.

"Sya suka bunga. Paling Sya suka, bunga mawar. Setiap warna punya maksud tersendiri. Putih lambang suci. Merah lambang sejati."


*****
bersambung lg.

Monday, June 13, 2011

Cinta Kita Bawa Ke Syurga - 31

Darwisya menatang dulang berisi dua cawan kopi dan jemput-jemput ikan bilis menuju ke ruang santai di beranda rumahnya.

Dua bulan sudah berlalu. Memori yang kian jauh dengan Darwisya semakin datang kembali. Hampir pulih. Itu kata doktor. Hal-hal kerjaya juga sudah berjaya diingati. Namun dia belum benar-benar yakin untuk memulakan tugas. Syukur majikannya amat memahami.

Ibu menyerahkan sejambak bunga.

"Sya, ada coklat dan bunga untuk Sya. Ibu tak tahu lah siapa beri. Kimi agaknya. Sebab ada orang dari kedai bunga yang hantar." Kata ibu sambil menghirup kopi.

Kad yang terselit dicelah-celah kuntuman bunga mawar merah itu digapai dengan penuh tanda tanya.

Buat Darwisya Qaisara tersayang,


Moga si cantik manis saya ni sihat selalu.


Love,
Zarif Asyraf.

-----

Usai solat maghrib, Darwisya duduk berteleku di atas tikar sejadah. Corak  sejadah berlambang Baitullah itu direnung dalam-dalam. Mindanya berputar ligat memikirkan semua kejadian siang tadi.

kenapa kad tu Zarif yang bagi?
kenapa bukan Kimi seperti yang ibu jangka?
Zarif siapa?

hati Darwisya dilambung ombak. Minda Darwisya kacau. Semuanya sudah kembali kepada asal. Tapi mengapa lelaki bernama Zarif dan Hakimi terlalu sukar untuk diingati dan dikenang? Sesungguhnya Tuhan amat mengujinya saat ini.

Nada dering korus lagu 21 Guns berlagu di telefon bimbitnya.

'Aina Zulaikha - Work'

siapa dia? Tanya hati Darwisya.
panggilan itu disambut.

"Assalamualaikum Sya." Sapa pemanggil.

"Waalaikumussalam.Siapa ni?" Tanya Darwisya.

"Akak la..Kak Aina.Your boss." Aina menjelaskan.

Darwisya terpaku sejenak. Mata dipejam rapat. Perlahan-lahan dia terimbau suasana pejabat tempat kerjanya. Seorang wanita cantik dipanggil "kak Aina".

Ya..ya.. dia Aina Zulaikha.

"Maaf kak. Sya masih lupa-lupa lagi." Akui Darwisya tanpa selindung. dia redha sekiranya Kak Aina sudah lelah dengan cutinya yang sudah lebih dua bulan.Darwisya akur. Sesungguhnya dia sendiri menyedari semua majikan sudah pasti tidak mahu kerugian akibat menggaji kakitangan sepertinya.

"Kak Aina call nak tanya. Sya dah sihat ke? Tadi petang akak call ibu Sya. Dia kata, Sya dah makin baik. Tu yang akak call." Jelas kak Aina. Sungguh mulia hati majikannya ini. Sudi menelefon Darwisya semata-mata untuk mengetahui perkembangan kesihatan dirinya. Darwisya terharu.

"Thanks kak Aina. Sya dah ambil cuti lama sangat. Kalau syarikat nak ambil tindakan berhentikan Sya pun tak apa kak.Sya faham." Akur Darwisya.

"Eh. jangan macam ni Sya. Akak dah bincang dengan Papa akak. Dia kata, nanti Sya sembuh mungkin kita akan serapkan Sya ke bahagian lain. Sebab, sepanjang Sya cuti, akak terpaksa replace Sya punya position. Susah sikit akak tak ada pembantu. Jadi, mungkin kalau Sya masuk nanti papa akak akan arrange semula ya Sya." Jelas Aina Zulaikha panjang lebar. Dia tahu Darwisya Qaisara dipagut rasa risau. Dia tidak mahu menambah beban di bahu Darwisya. Dia tahu emosi Darwisya sangat terganggu akibat perbuatan suaminya. Dia mendengar ucapan Zarif kepada Darwisya ketika di pantai dulu. Dia juga tahu sejambak mawar merah yang dihantar kepada Darwisya. Dia juga tahu panggilan-panggilan yang dibuat kepada Darwisya dengan tujuan menarik perhatian gadis manis itu.

Hati wanitanya diulit cemburu pada asalnya. Namun, iman dan akalnya bertindak waras. Darwisya Qaisara harus dibantu.


***bersambung ya.***