Monday, August 16, 2010

Cinta Kita Bawa Ke Syurga-ep 27

Darwisya memegang kepalanya yang berbalut. Tiba-tiba kepalanya terasa berdenyut-denyut. Sejak sedar dari koma, mindanya ligat berfikir mencari-cari siapa Hakimi sebenarnya. Namun, tiada satu memori pun yang mengingatkannya kepada lelaki bermata sepet itu. Dia hanya tahu Hakimi adalah lelaki yang menyelamatkan dirinya dalam lena tidurnya yang panjang. Dia hanya tahu suara lelaki bernama Hakimi yang membangunkannya dari tidur. Dia hanya tahu lelaki itu yang membawanya pulang dari sesat jalan dalam lenanya itu.


 

'Hakimi..awak siapa?' rintih hati kecilnya.


 

Darwisya meronta ingin mengetahui siapa lelaki itu dalam hidupnya. Darwisya penuh rasa ingin tahu.


 

Ya Allah…

Kepada-Mu aku meminta dengan kesungguhan hati.

Kau tunjukkanlah kebenaran dan jauhkan aku dari gelisah dan resah ini.

Tunjukkan aku kebenarannya Ya Allah.

Dan, kembalikanlah ingatan aku kepada memori yang terpadam itu seandainya itu yang terbaik untukku.

Namun, jika engkau mengetahui bahawa aku tidak seharusnya memiliki lagi memori itu, kau biarkanlah ia terus padam dari ingatanku ini.

Sesungguhnya engkau maha mengetahui tiap-tiap sesuatu yang terbaik untuk hamba-Mu.


 

Doa ini menemani Darwisya Qaisara dalam rintihannya malam itu. Sedaya mungkin dia bangun untuk mengerjakan tuntutan agama yang pernah ditinggalkan sepanjang komanya.


 


 

********


 


 

Hakimi pulang dengan hati yang gembira bercampur lara. Fikirannya buntu memikirkan Darwisya kesayangannya. Hakimi akui, dia berasa bahagia saat melihat Darwisya hampir pulih. Namun, hatinya turut bersarang pilu tatkala mengenangkan situasi di hospital tadi. Sebahagian kotak memori di minda Darwisya seolah terpadam. Darwisya sekadar mengenali Hakimi melalui mimpi-mimpi dalam lena komanya. Namun, lelaki bernama Hakimi seolah tidak pernah dikenali di alam nyata.


 

Hakimi merebahkan diri dikatil bujang miliknya. Wajah terpinga-pinga Darwisya saat menatap wajahnya tadi masih berlegar di ruang ingatannya. Kata-kata Darwisya masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Betapa Darwisya benar-benar sudah melupakannya.


 

Bersama doa penuh pengharapan Hakimi titipkan setiap kali usai solat. Hakimi berdoa mohon Allah mudahkan dirinya untuk mengharungi detik sukar ini.


 

Ya Allah,

Andai gadis itu benar-benar kau jadikan sebagai Hawaku.

Satukanlah kami di jalan redha-Mu.

Namun,

Jika gadis itu bukan kau jadikan sebagai teman pendamping hidupku,

Aku redha.

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui.


 

Dalam kecewa itu, Hakimi tidak duduk diam. Doanya disusuli dengan usaha yang tidak putus-putus. Setiap hari Hakimi menziarahi Darwisya. Walaupun di mata Darwisya, Hakimi tidak pernah dikenalinya, dia tetap akan terus menyayangi gadis itu selagi diizinkan Tuhan.


 

"Darwisya apa khabar hari ini?" Tanya Hakimi sambil tangannya ligat memotong epal buat Darwisya.


 

"Alhamdulillah. Semakin sihat. Kata Doktor, saya boleh keluar wad esok." Jawab Darwisya.


 

"Syukurlah. Saya tumpang gembira." Senyum Hakimi.


 

"Kenapa awak hari-hari datang sini?" Tanya Darwisya. Sejak seminggu yang lalu, setelah Darwisya sedar dari koma, Hakimi pasti akan menjenguknya tiap petang. Lelaki itu sekadar duduk berbual-bual bertanya khabar. 10 hingga 15 minit kemudian, lelaki itu akan meminta diri.


 

"Saja… Menjenguk awak." Jawab Hakimi.


 

'Sya, saya datang hari-hari sebab saya rindukan awak.' Hati Hakimi menjawab pertanyaan Darwisya.


 


 


 

"Mi…Ni surat. Tadi posmen hantar." Muncul ibu Hakimi di muka pintu biliknya.


 

"Surat apa mak?" Tanya Hakimi lemah.


 

"Entah. Mak tak buka pun. Nah, tengoklah.." Kata ibu Hakimi.


 

Hakimi membuka surat tersebut perlahan-lahan.


 

Ibu Hakimi memandang wajah kusam anak lelakinya itu dalam-dalam. Hati lelaki itu cuba diselami. Ibunya menyedari kesedihan Hakimi saat itu. Dia masih ingat panggilan telefon dari Hakimi di hospital ketika menziarahi Darwisya.


 

"Mak…..Sya dah lupa Kimi. Sya dah tak ingat Kimi lagi mak…" Kata Hakimi.


 

"Kimi, Kimi kenapa? Sya dah sedar ke Kimi? Tadi Kimi kata Sya koma." Bertubi-tubi soalan menerjah cuping telingan Hakimi. Hati ibu Hakimi diterpa kerisauan.


 

"Sya dah bangun…Tapi…dia dah tak kenal Kimi………" Ucap Hakimi perlahan.


 

"Kimi…Sabar nak…Ada hikmah setiap kejadian tuhan tu Kimi." Nasihat ibunya. Hanya itu yang mampu dikatakan oleh ibunya. Hati ibunya turut diterpa sayu mengenangkan ujian yang melanda hidup anaknya.


 

Pelupuk mata ibu Hakimi bergenang dengan air hangat.


 

"Mak? Mak tak dengar ke Kimi cakap tadi?" Ujar Hakimi mematikan lamunan minda ibunya.


 

"Eh, mak ni melayang pula otak ni. Ye nak? Surat apa tu?" Kata ibu Hakimi.


 

"Surat tawaran. Kimi ada minta kerja kat Penang Port. Tak sangka ada rezki kat sana." Ujar Hakimi.


 

"Kimi nak kerja di Penang?" Tanya ibunya.


 

"Entah…" Jawab Kimi tidak bersemangat.


 

Solat istikharah bakal menjadi jalan utama yang dipilihnya.

Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk hambanya.


 

*sambung yaaa..*

Kasi idea sikit ye kawan2..ehehhehe


 


 

Monday, August 2, 2010

Terus Bercerita

Apakah khabar Darwisya Qaisara?

Bagaimana pula Adam Hakimi merawat lara di hati?

Zarif Asyraf entah apa kisahnya.

Adakah Aina Zulaikha melayar bahagia kini?


 

Nantikan kisah seterusnya..

Humayra akan kembali menulis atas permintaan beberapa pihak..

Harap masih ada yg sudi menjamu mata dengan kisah cinta ilusi penulis ini.


 

Salam Cinta Penuh Penghargaan buat pembaca budiman,

Puteri Humayra