Tuesday, May 25, 2010

Cinta Kita Bawa Ke Syurga - 26

Ibu, adik-adik serta sanak saudara Darwisya telah tiba di hospital. Masing-masing menanti kata putus doktor mengenai kondisi Darwisya. Hakimi tidak putus-putus melafaz doa di sudut hatinya. Bibirnya tidak lekang dengan kalimat-kalimat Allah. Mengharap dan memohon simpati Tuhan Yang Maha Pengasih. Semoga kekasihnya diberikan kesihatan.




Doktor keluar dari bilik yang menempatkan Darwisya Qaisara.



“Assalamualaikum,” Ujar doktor. Ucapan salam berbalas oleh sanak saudara Darwisya yang setia menanti sejak tadi.



“Macam mana anak saya doktor?” Tanya ibu Darwisya dengan nada sarat dengan cemas.



“Untuk makluman semua, Darwisya Qaisara sudah pun sedar. Tetapi, kondisi dalam keadaan yang sangat lemah dan mungkin mindanya sedikit terganggu akibat hentakan yang terlalu kuat. Jadi, kalian semua beri peluang dia berehat dan insya allah dalam sedikit tempoh masa, dia akan sihat semula seperti sedia kala. Pakar dah sahkan tiada pendarahan di otaknya tetapi sedikit gegaran sahaja yang mungkin mengganggu fungsi sarafnya.” Jelas doktor yang merawat Darwisya.



“Alhamdulillah. Terima kasih doktor.” Ujar ibu Darwisya. Air mata bergenang tanda kegembiraan seorang ibu.



Hakimi yang mendengar penjelasan doktor lantas mengucapkan puji pujian kepada tuhan yang memakbulkan doanya. Bibirnya sudah mampu mengukir senyuman.



‘Sya, Kimi tak sabar nak jumpa Sya.’ Desir hatinya.



Tika itu, seorang demi seorang diberi peluang masuk bergilir-gilir untuk bertemu dengan Darwisya. Hakimi bergegas ke surau berdekatan sementara memberi peluang kepada sanak saudara Darwisya melawat kekasihnya. Hakimi mahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Solat Magrib didirikan. Usai solat maghrib, dia mengerjakan solat sunat hajat dan berteleku di atas tikar sejadah memohon dengan bersungguh-sungguh agar Allah memberi kesihatan kepada Darwisya Qaisara.





“Abang, Ibu suruh abang jumpa Kak Sya,” Ujar Aman yang muncul di belakang Hakimi.



“Semua dah jumpa kakak ke? Abang takut mengganggu saudara-mara Aman je,” Kata Hakimi risau.



“Semua dah jumpa. Ibu kata, Akak Sya asyik Tanya mana Abang Kimi je,” Kata Aman.



Hakimi lekas menyarung sepatunya. Kemeja biru yang dipakai sejak pulang dari kerja masih terlekat dibadan. Hakimi tidak sabar untuk bertemu kekasih hatinya.



“Kimi, tadi Sya tanya mana Kimi. Kimi jumpalah dia.” Ujar ibu Darwisya.



Hakimi mengagguk. Pintu bilik Darwisya dikuak perlahan. Langkah di atur kemas menuju kerusi bersebelahan katil tempat Darwisya berbaring.



“Assalamualaikum Sya,” Ucap Hakimi lembut.



“Waalaikumussalam. Awak siapa?” Tanya Darwisya dalam keadaan lemah. Namun riak pelik terpancar jelas diwajahnya.



Reaksi itu sukar diterima oleh Hakimi.



“Sya, jangan main-main saying. Ni Kimi. Sya nak jumpa Kimi kan sayang?” Kata Hakimi sedikit cemas. Hanya tuhan yang tahu gelodak hati Hakimi saat itu. Mindanya tertekan.



“Oh, awak Hakimi ye? Terima kasih awak. Sebab tolong saya. Saya dengar suara lelaki bernama Hakimi sepanjang lelap saya. Saya dah sesat jauh. Tapi, suara lelaki bernama Hakimi yang pimpin saya pulang,” Ucap Darwisya tulus. Nada suaranya sedikit perlahan. Namun masih jelas di telinga Hakimi.



Hakimi tunduk. Matanya bergenang air hangat. Namun, cepat-cepat ditahan emosi kecewa itu dari menyelubungi dirinya. Hakimi sudah faham. Darwisya tidak mengingatinya. Memori bersama Hakimi tidak wujud dalam kotak minda gadis dihadapannya. Bagi gadir itu, Hakimi cuma dikenali menerusi mimpi-mimpinya.



Hakimi tidak boleh terlalu beremosi. Jiwa Darwisya harus tenang. Dia tidak mahu mengusutkan fikiran Darwisya.



“Awak, kenapa awak sedih?” Tanya Darwisya perlahan. Lelaki bernama Hakimi di sisinya tertunduk sayu.



Siapakah lelaki ini?



Mengapa aku tenang saat dia di sisi?



Mengapa aku sedih saat melihat dia bersedih?



Minda Darwisya mencongak jawapan bagi semua persoalan yang menjengah pemikiran saat itu. Seingat Darwisya, dia tidak mengenali lelaki bermata sepet dan berkulit sawo matang di hadapannya. Tetapi hatinya terasa seolah pernah memiliki lelaki itu. Wajah lelaki itu seolah menjadi wajah yang dirindui. Nama lelaki itu seolah lancar berlagu dibibirnya.



*******************************************************

bersambung....

3 comments:

epy elina said...

hohohoho....
sya ilang ingtan....
kecian lak....
kcian kimi...

nabilah_2908 said...

hmm....dugaan dtg lagi...

Anonymous said...

sedih,.,.,.,.,,,